Sunday, March 24, 2013

CABARAN DAN HALANGAN MEMBANGUNKAN USAHAWAN BUMIPUTERA BERJAYA


Ditulis oleh
Noor Zalika Bt Mahmad Zuki
Januari 2013
Kedah


1.0       PENDAHULUAN

Keusahawanan di Malaysia bermula sejak awal zaman Kesultanan Melaka lagi apabila penduduk tempatan berurus niaga dengan pedagang asing. Apabila British memerintah Tanah Melayu, mereka telah menukar struktur sosial dengan menjalankan pemerintahan “Pecah dan Perintah”. Dengan ini, kaum Melayu dilantik pentadbir dan bekerja dalam sektor pertanian, kaum Cina bekerja di lombong dan berniaga, manakala kaum India pula bekerja di sektor perladangan. Hasilnya, kaum cina lebih ke hadapan dalam soal perniagaan berbanding kaum Melayu dan kaum India.

            Selepas kemerdekaan, kerajaan Malaysia mula menyedari betapa pentingnya keusahawanan kepada kaum Individu, masyarakat dan negara dan bagaimana bidang ini menyumbang kepada keamanan negara. Semenjak itu, kerajaan telah memfokuskan kepada keusahawanan sehingga sekarang. Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Dasar Pembangunan Negara (1990-2000) dan Wawasan 2020, adalah memberi sokongan terhadap pembangunan keusahawanan di Malaysia. Kerajaan tidak hanya memberikan galakan terhadap pembangunan keusahawanan malah memberikan galakan pengiktirafan kepada keusahawanan. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang ditubuhkan pada 8 Mei 1995 berperanan sebagai agensi utama pembangunan usahawan Bumiputera. Objektif utama penubuhan kementerian ini adalah untuk menyediakan persekitaran yang dapat membantu dan menggalakkan pembangunan usahawan tulen yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing dalam semua sektor serta memupuk budaya keusahawanan dan koperasi di kalangan rakyat Malaysia.

            Namun begitu, peningkatan pendapatan kaum Bumiputera masih belum memuaskan kerana ia masih agak ketinggalan berbanding kaum lain di Malaysia (Norasmah, 2002). Berikutan itu, kerajaan Malaysia perlu memberi tumpuan kepada kaum Bumiputera untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka. Sehingga kini dorongan dan galakan kerajaan kepada kaum Bumiputera supaya melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, terutamanya industri kecil dan sederhana, mewujudkan tindak balas yang positif.

2.0       CABARAN USAHAWAN BUMIPUTERA

Seperti biasa, saban tahun negara akan bertukar pemimpin dan bertukar Belanjawan dan Pelan. Pelbagai langkah telah diambil oleh pemimpin untuk menolong kaum Bumiputera amnya, usahawan Bumiputera khususnya. Namun begitu, kaum Bumiputera masih berada di takuk lama dan hanya sedikit peningkatan kita dalam ekonomi negara.

            Bangsa Melayu terlalu leka dan mengambil mudah pembabitan dalam bidang ekonomi. Ekonomi adalah sangat penting untuk dikuasai jika kaum Bumiputera ingin terus maju. Kaum Bumiputera mempunyai kuasa beli (buying power) terbesar dalam negara ini, namun bangsa lain yang menikmatinya.

            Sebagaimana politik, kaum Bumiputera turut berdepan dengan dilema ekonomi yang rencam. Ketika kaum lain menikmati kek ekonomi negara dalam peratusan yang besar, usahawan Melayu dan bumiputera masih lagi bergelut untuk meneruskan survival.

            Kita sebenarnya tidak memerlukan statistik untuk melihat di mana kedudukan orang Melayu dan bumiputera dalam persekitaran ekonomi semasa. Meskipun merupakan kaum majoriti dan pengguna yang terbesar, namun penguasaan ekonomi kaum Melayu dan bukan Melayu jelas tidak seimbang.

            Hanya segelintir kecil sahaja usahawan Bumiputera yang terlibat dalam ekonomi kritikal dan bernilai tinggi. Selebihnya, ramai yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan yang keuntungannya tidak banyak merubah taraf hidup kaum Bumiputera itu sendiri. Kerana itu adalah penting untuk usahawan bumiputera ini terus digalakkan untuk terbabit dengan lebih aktif dalam persekitaran ekonomi semasa. Dari sudut peluang dan kemudahan misalnya, usahawan bumiputera memiliki banyak kelebihan berbanding usahawan bukan bumiputera.

2.1       Usaha Kerajaan dalam membangunkan usahawan Bumiputera

Banyak bantuan dari sudut galakan, modal, lokasi berniaga dan sebagainya disediakan sama ada secara langsung oleh kerajaan atau menerusi agensi-agensi berkaitan. Apa yang tinggal hanyalah sejauh mana keberanian usahawan Melayu dan bumiputera untuk terjun ke dunia perniagaan yang berskala besar dan bertaraf antarabangsa.

            Pelbagai perubahan dijangka akan berlaku dalam arena perniagaan di Malaysia. Menurut Norhashim (1994) perniagaan kecil di Malaysia telah meningkatkan jumlah peluang pekerjaan dan pembangunan usahawan. Di sini jelas bahawa perniagaan bersaiz kecil dan sederhana amat penting dalam menyumbang terhadap pembangunan negara. Aliran pertumbuhan ekonomi di Malaysia telah menggalakkan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), walau bagaimanapun wujud ketidakseimbangan dalam pegangan ekonomi antara kaum di Malaysia. Humam (1992) mendapati penduduk bukan Bumiputera telah menguasai sektor ekonomi, dan matlamat Dasar Ekonomi Baru gagal dicapai sepenuhnya (Malaysia, 2001). Walau bagaimanapun, hasil usaha kerajaan bersama dengan agensi sokongan kerajaan, pengagihan pendapatan keseluruhan di kalangan isi rumah di Malaysia telah bertambah baik dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-9 (Norasmah, 2009).

            Pihak kerajaan telah melakukan berbagai usaha ke arah memupuk dan mengembangkan asas keusahawanan di kalangan bumiputera bagi melahirkan usahawan yang berdaya maju dan berdaya tahan. Antaranya melalui penglibatan mereka secara langsung dan aktif dalam dunia perniagaan. Pelbagai agensi telah disediakan untuk membantu usahawan Bumiputera. Banyak tabung yang bertujuan khusus untuk membangunkan usahawan bumiputera telah ditubuhkan. Antaranya ialah Tabung Usahawan Baru, Tabung Industri Bumiputera, dan Tabung Usahawan Kecil yang semuanya bertujuan membantu usahawan kecil dan sederhana (Zaidatol et at. 1998).

Menurut Norasmah (2002), salah satu kementerian yang berfungsi untuk membangunkan
usahawan Bumiputera ialah Kementerian Pembangunan Usahawan. Kementerian ini bukan sahaja ingin membangunkan usahawan bumiputera tetapi ingin melahirkan usahawan yang berkualiti, berpotensi serta berupaya membentuk masyarakat Perdagangan dan Perindustrian (MPP) seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.

3.0       HALANGAN PEMBANGUNAN USAHAWAN BUMIPUTERA

Terdapat beberapa kelemahan usahawan seperti kekurangan modal, kekurangan kemahiran pemasaran, kekurangan pengetahuan dan teknologi, kekurangan pekerja mahir, kekurangan kemahiran dan pengetahuan pengurusan dan ketidakmampuan untuk mendapat premis perniagaan yang sesuai (Zaidatol dan Habibah, 1997). Dapatan Humam
dan rakan-rakan (1992) menunjukkan faktor yang sama juga telah menyebabkan kegagalan perniagaan iaitu pengurusan yang lemah, masalah pemasaran dan kewangan, faktor perundangan dan peraturan serta faktor peribadi dan keusahawanan.

            Walaupun sistem pendidikan secara beransur-ansur mengubah nilai dan sikap Bumiputera ke arah perubahan positif, masih terdapat beberapa golongan usahawan Bumiputera yang masih ketinggalan dari segi daya cipta, amalan perniagaan yang baik dan semangat bekerja yang gigih. Budaya niaga keusahawanan dan kesanggupan menanggung risiko masih belum dihayati sepenuhnya oleh masyarakat peniaga Bumiputera. Usaha kerajaan untuk membantu kaum Bumiputera telah banyak dilaksanakan, dan pendidikan perdagangan dan keusahawanan telah lama wujud di Malaysia (Shahril, 1993). Kementerian Pendidikan juga memainkan peranan penting mewujudkan pelapis usahawan melalui program seperti Usahawan Muda dan Briged Usahawan (Zaidatol et at. 1998).

            Sieh (1990) dalam kajiannya tentang profil usahawan Malaysia mendapati usahawan menghadapi masalah dalam bidang kewangan kerana mereka kurang pengetahuan. Pandangan yang sama diberikan oleh Timmons (1985) apabila beliau mengatakan asas pendidikan keusahawanan adalah kemahiran teknikal dan kewangan. Manakala Hess (1987) dan Kent (1990) menyarankan aspek pengurusan dan pemasaran adalah penting untuk kejayaan usahawan. Memandangkan pesatnya perkembangan keusahawanan sekarang ini, adalah penting untuk dijalankan kajian bagi mengenal pasti tahap keupayaan usahawan Bumiputera di Malaysia setelah kerajaan mempergiat usaha untuk membangunkan keusahawanan.

3.1       Kemahiran Usahawan Bumiputera

Dalam kajian yang dilakukan oleh Zaidatol Akmaliah Lope Pirie & Habibah Elias (2004), usahawan bumiputera mempunyai keupayaan yang tinggi dalam membentuk hubungan manusia yang baik, dan membentuk kemahiran komunikasi secara lisan dan tulisan. Dapatan tersebut menyokong pandangan Fatley (1990) dan McCannon et at. (2000) yang menyarankan komunikasi berbentuk tulisan dan lisan adalah penting dan menjadi asas kepada pembentukan kemahiran yang lain di tempat kerja. Womble et at. (2000) pula mendapati kemahiran interpersonal dan hubungan manusia merupakan sesuatu yang amat penting di tempat kerja hari ini. Zaidatol et al. (2000) juga telah mengenal pasti kepentingan kemahiran komunikasi dan hubungan manusia di tempat kerja untuk kejayaan sesuatu kerjaya.

            Mereka juga mendapati kemahiran keusahawanan dalam aspek pengurusan dimiliki oleh kebanyakan usahawan bumiputera dan keadaan ini amat bertepatan dengan pandangan Zaidatol et al. (2000) yang mengatakan bahawa perniagaan yang berjaya selalunya melibatkan beberapa kemahiran yang lain selain daripada aspek fungsian perniagaan sahaja. Luft (1986) menyarankan prinsip hubungan manusia yang diperlukan untuk kejayaan kerjaya adalah berkaitan dengan pembentukan konsep kendiri yang positif, menerima kritikan, menyelesaikan konflik, menangani perubahan, menangani diskriminasi dan prejudis dan memahami sumber nilai, nilai kendiri dan menerima nilai orang lain. Usahawan bumiputera didapati mempunyai kemahiran mengurus dan membentuk hubungan manusia yang baik sebagai kemahiran keusahawanan yang paling penting dan kedua-dua kemahiran tersebut merupakan kemahiran yang paling tinggi kebolehan usahawan melaksanakannya.

Walau bagaimanapun terdapat perbezaan dari segi kebolehan usahawan bumiputera dalam mengendalikan aspek kewangan dan pemasaran. Walaupun secara keseluruhan didapati usahawan Bumiputera telah mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan dan telah mengikuti kursus dalam bidang pemasaran, namun kebanyakan daripada mereka masih kurang berkeupayaan dalam melaksanakan kemahiran kewangan dan pemasaran yang mereka sendiri sedar akan kepentingannya.

Satu kajian yang dilakukan oleh Zaidatol Akmaliah Lope Pihie & Habibah Elias (2004) terhadap usahawan-usahawan Bumiputera yang bernaung di bawah Dewan Perniagaan Melayu telah mendapati bahawa 55% usahawan Bumiputera telah pun berkecimpung dalam dunia perniagaan melebihi 10 tahun. Walaupun perniagaan mereka merupakan perniagaan kecil-kecilan (72% mempunyai pekerja kurang daripada 20 orang), mereka masih menghadapi masalah utama untuk mengutip akaun boleh terima, iaitu seramai 61% belum mampu untuk mengatasi masalah tersebut. Di samping itu juga didapati 61% kurang berkemampuan untuk menjalankan kajian pasaran, 60% belum begitu mampu menyediakan laporan kewangan dan seramai 58% kurang berkebolehan untuk menentukan arah aliran produk. Ini membimbangkan kerana kebanyakan daripada kemahiran perakaunan dan pemasaran yang dianggap penting untuk kejayaan masih lagi belum dikuasai sepenuhnya oleh usahawan Bumiputera. Apakah faktor utama yang menghasilkan keadaan ini? Dapatan juga menunjukkan hanya 26% usahawan telah berpeluang mengikuti latihan keusahawanan selama enam (6) bulan dan lebih. Kebanyakannya (57%) hanya telah berpeluang mengikuti kursus keusahawanan kurang daripada (6) bulan. Fenomena ini mungkin mempengaruhi persepsi mereka terhadap keupayaan melaksanakan kemahiran keusahawanan terutama dalam bidang pemasaran. Seramai 17% pula tidak pernah mengikuti latihan langsung dan hanya 44% pernah mengikuti kursus berbentuk perakaunan atau kewangan. Ilmu pemasaran didapati amat penting untuk usahawan bumiputera. Keputusan yang dibuat dalam aspek pemasaran selalunya mempengaruhi usaha mereka dalam merancang, menjalankan dan menguruskan perniagaannya. Usahawan Bumiputera hendaklah mengoperasikan perniagaannya berlandaskan amalan pemasaran yang betul.
Menurut Zaidatol et at. (1997) terdapat banyak syarikat yang muflis kerana pemiliknya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam menangani keadaan pasaran yang sentiasa berubah. Tambah beliau lagi perniagaan hari ini hendaklah berorientasikan pemasaran. Syarikat yang ingin membentuk dan mengeluarkan barangan tanpa mengambil kira kemudahan dan keperluan pelanggan akan menghadapi masalah. Dengan mengambil kira perkembangan perniagaan secara global aplikasi konsep pemasaran ini perlu diberi tumpuan yang lebih.

Mengikut Drucker (1963) dua fungsi utama untuk sesebuah perniagaan ialah pemasaran dan inovasi. Pandangan ini juga disokong oleh Barnes, Pynn dan Noonam (1982) bahawa kebanyakan firma gagal setiap tahun kerana mereka tidak berupaya untuk menentukan sasaran pasaran. Ini juga dipersetujui oleh Cohen dan Reddich (1981) bahawa kegagalan sesuatu perniagaan itu adalah hasil daripada cara pemasaran yang salah. Memandangkan usahawan dalam kajian ini berskala kecil, Tootelian dan Goedeka (1985) pernah menyatakan bahawa sepatutnya mereka yang berkecimpung dalam perniagaan yang begini mendapat kelebihan dalam aspek: perkhidmatan pelanggan secara peribadi, pengetahuan tentang pelanggan dan pasaran, hubungan rapat dengan komuniti, pendekatan secara peribadi dengan pekerja dan pengurusan yang anjal. Malangnya usahawan bumiputera dalam kajian ini tidak menunjukkan ciri-ciri yang positif dalam menguasai kemahiran pemasaran walaupun situasi atau persekitaran yang disediakan mampu mengarah mereka ke arah keberkesanan yang lebih tinggi. Malahan dalam senarai sepuluh kemahiran yang paling penting mengikut persepsi usahawan hanya satu kemahiran sahaja berkaitan dengan pemasaran iaitu 'menentukan keperluan pelanggan'. Pemeringkatan yang rendah kepada aktiviti pemasaran oleh usahawan menunjukkan usahawan kurang faham dan tidak memberi tumpuan yang cukup kepada usaha pemasaran yang penting untuk kejayaan. Begitu juga dalam aspek kewangan, masalah utama usahawan Bumiputera ialah untuk mengutip akaun boleh terima. Tate (1977) juga
mendapati salah satu penyebab kepada kegagalan dalam perniagaan ialah kegagalan usahawan mengutip akaun boleh terima. Pandangan ini disokong oleh Diffley (1983) yang mendapati kemahiran 'mengutip akaun boleh terima merupakan kemahiran yang paling penting untuk usahawan di Kansas. Aspek lain yang ketara pentingnya dalam pengendalian perniagaan adalah pengurusan kewangan, belanjawan dan penyediaan penyata aliran tunai.

Kesemua kemahiran ini amat diperlukan tetapi usahawan Bumiputera tidak mempunyai keupayaan yang tinggi dalam hal ini. Kemahiran-kemahiran ini adalah penting untuk menjamin kejayaan sesebuah perniagaan (Kiesner 1990). Kepentingan kemahiran pemasaran dan kewangan ini tidak dapat dinafikan lagi. Beberapa kajian lepas seperti oleh Mc Ewen (1990), Hess (1987) dan Clouse (1990) telah merumuskan bahawa kedua-dua aspek ini berkait rapat. Misalnya Clouse (1990) menyatakan bahawa kepentingan membuat keputusan dalam pemasaran adalah amat tinggi bagi seseorang usahawan. Beliau juga menekankan kepentingan aspek kewangan terutama untuk memahami aliran tunai dan menganalisis untung dan rugi. Manakala Hess (1987) pula menyatakan aspek jualan dan pemasaran mendahului senarai utama tugas seseorang usahawan diikuti oleh kemahiran pengurusan kewangan. Kohn (1985) pula percaya kegagalan perniagaan itu disebabkan oleh kurang pengalaman usahawan dalam pengurusan, usahawan tidak kompeten, kekurangan modal, strategi pemasaran yang salah, serta rekod dan prosedur perakaunan yang tidak lengkap.

Memandangkan seramai 92% usahawan Bumiputera merasakan latihan keusahawanan adalah penting, dan mereka telah mula sedar akan kepentingan sesuatu kemahiran tertentu maka adalah lebih baik sekiranya mereka diberi peluang sewajarnya untuk mengikuti program latihan dan pembangunan usahawan yang sempurna. Program latihan itu perlulah bukan sekadar pendedahan sahaja tetapi mempelajari selok-beloknya. Program latihan keusahawanan ini perlu diubahsuai pelaksanaannya seperti menggunakan kaedah berbentuk pengalaman atau 'experiential' dan berorientasikan tindakan untuk menepati keperluan dan kehendak spesifik usahawan bagi menjadikan seseorang itu bertambah maju dan tidak ketinggalan dalam segala bidang. Kaedah ini penting kerana untuk mempelajari aspek perakaunan yang spesifik adalah lebih sukar jika kaedah yang digunakan tidak tepat. Ini semua akan dapat membantu mengecilkan jurang jumlah usahawan berjaya dan yang gagal. Seharusnya kemahiran keusahawanan yang penting dan perlu dikuasai dapat dipelajari secara formal atau tidak formal sebelum mula menceburkan diri lagi. Kemahiran tersebut dapat dipertingkatkan penguasaannya secara beransur-ansur setelah berkecimpung dalam dunia perniagaan.

4.0       CABARAN-CABARAN YANG AKAN DIHADAPI OLEH USAHAWAN BUMIPUTERA DI ABAD KE-21

Keusahawanan akan menjadi lebih kompleks pada abad ini dan berhadapan dengan pelbagai cabaran yang lebih besar. Cabaran merupakan elemen yang penting bagi usahawan untuk mengetahui tahap kemajuan don kemampuan mereka di dalam mengurus perniagaan. Cabaran yang dapat diatasi dengan baik merupakan suatu kejayaan. Antara cabaran yang akan memberi pengaruh yang signifikan kepada usahawan adalah seperti yang berikut:

(a) Kepelbagaian Tenaga Kerja

Tenaga kerja dalam perniagaan hari ini adalah lebih heterogen dan pelbagai dan segi jantina, bangsa, etnik, dan budaya. Terdapat juga tenaga kerja yang telah berumur dan yang tidak sempurna sifat. Akibatnya, usahawan perlu menyesuaikan aktiviti, struktur dan jangkaan kumpulan serta individu dengan kepelbagaian gaya, sikap, latar belakang keluarga. keperluan, budaya, dan harapan yang berlainan. Mengenal pasti dan menghormati perbezaan-perbezaan ini akan menjamin pekerja untuk kekal dalam sesebuah syarikat. Usahawan oleh mengiktiraf perbezaan yang wujud dan pada masa yang sama mengambil faedah dengan mencungkil setiap potensi yang ada hasil daripada perbezaan ini untuk kebaikan syarikat.

(b) Kesetiaan Pekerja yang Menurun

Persaingan secara global mendesak usahawan untuk menyingkirkan polisi tradisionalnya yang melayani pekerja sama dengan faktor pengeluaran yang lain. Jika pekerja merasakan mereka tidak dilindungi dan dihormati dengan sendirinya kesetiaan mereka terhadap perniagaan dan syarikat akan menurun. Hal ini adalah kerana pekerja hari ini mempunyai pelbagai jenis pilihan pekerjaan terutama di kalangan pekerja-pekerja yang berilmu atau pun “knowledge workers’.

(c) Kekangan Tenaga Buruh

Penurunan dalam kadar kesuburan seluruh dunia terutamanya di negara-negara perindustrian menyebabkan berlaku kekurangan tenaga buruh. Usahawan terpaksa mengambil tenaga buruh di kalangan wanita dan mereka yang relah pencen. Kekurangan tenaga buruh menyebabkan permintaan terhadap mereka meningkat dan seterusnya meningkatkan kos pembayaran gaji, elaun. insurans. dan lain-lain faedah tambahan yang terpaksa ditanggung oleh syarikat.

(d) Kekurangan Pekerja yang Berkemahiran

Kebanyakan pekerja dalam pasaran didapati kekurangan kemahiran ikhtisas yang dikehendaki oleh majikan. Oleh itu majikan terpaksa memberi latihan terlebih dahulu sebaik sahaja mereka ini diterima bekerja.

(e) Peningkatan Kualiti yang Berterusan

Usahawan perlu memberi tumpuan yang lebih kepada isu ini memandangkan masyarakat mahukan produk atau perkhidmatan yang setimpal dengan jumlah wang yang dibelanjakan. Oleh itu. usahawan harus mengutamakan kepuasan pelanggan melalui peningkatan kualiti yang berterusan yang membolehkan syarikat memenuhi cita rasa semasa pelanggan untuk terus bersaing dalam pasaran.




(f) Peningkatan Kemahiran Di Kalangan Pekerja

Usahawan perlu sedar betapa pentingnya kemahiran yang dimiliki pekerja kepada perniagaan. Perniagaan akan sukar berkembang tanpa peningkatan kemahiran yang dimiliki oleh pekerja. Memandangkan kepesatan perkembangan teknologi hari ini. majikan harus mengemaskinikan kemahiran. Kepakaran dan kebolehan pekerja untuk menghadapi cabaran pesaing agar memiliki kelebihan yang kompetitif.

(g) Gerak Balas Terhadap Globalisasi

Perniagaan hari ini tidak lagi beroperasi dalam lingkungan sempadan fizikal yang trhad. Ada tenaga kerja yang akan ditugaskan ke luar negara. Mereka perlu didedahkan kepada perbezaan keperluan, aspirasi. sikap, budaya, dan personaliti yang bakal dihadapi apabila berada di negara berkenaan. Pada masa yang sama, terdapat pekerja asing yang akan diambil bekerja oleh usahawan. Adalah menjadi tanggungjawab usahawan untuk menangani pengaruh globalisasi dengan menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan hormat-menghormati untuk kebaikan bersama.

(h) Memperkasakan Pekerja

Kejayaan perniagaan juga bergantung kepada kesediaan usahawan untuk memperkasakan kerja kepada pekerja mereka. Mereka pen. melibatkan pekerja dalam membuat sesuatu keputusan. Mereka juga perlu berperanan sebagai pembimbing, penasihat, penaja, dar pemudahcara. Oleh itu, kebebasan perlu diberikan kepada pekerja terutama mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengar penjadualan masa bertugas, prosedur dan membuat keputusan berkaitan dengan kerja yang dipertanggungjawabkan. Usahawan perlu menerima hakikat bahawa pekerja merupakan orang yang paling mengetahui mengenai kerja yang mereka lakukan dan mereka juga aset paling berharga kepada syarikat.


(i) Menggalakkan Perubahan Dan Inovasi

Usahawan perlu menyedari bahawa setiap pekerja mempunyai bakat yang tersendiri. Oleh itu, usahawan perlu memberi kesempatan kepada pekerja menyelesaikan tugas dengan menggunakan kreativiti. imaginasi, dan inovasi mereka sendiri. Oleh itu, usahawan perlu lebih fleksibel dan menumpukan kepada pencapaian hasil yang maksimum. Usahawan juga perlu mengelakkan diri daripada terlibat dalam perkara yang remeh-temeh yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap kerja-keria mereka.

(j) Kesementaraan

Usahawan dan keusahawanan sentiasa terdedah kepada perubahan. Perubahan merupakan kemestian dalam perniagaan. Pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja tertakluk kepada perubahan. Kemahiran dan kepakaran yang dimiliki hari ini akan usang pada masa hadapan. Oleh itu, mereka perlu mempertingkatkan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh pekerja. Usahawan juga hendaklah bersedia merubah teknologi pengeluaran dan struktur perniagaan. Pada masa yang sama, mereka hendaklah melakukan pemindahan paradigma sama ada di kalangan pekerja atau din mereka sendiri dengan membebaskan diri daripada ikatan status quo, bangga dengan kejayaan lalu, dan selesa dengan pencapaian semasa.

            Seterusnya jika pada masa lalu pekerja merasakan selamat dengan pekerjaan yang mereka lakukan. tetapi mungkin tidak pada masa kini. Mereka dicabar oleh pekerja yang lebih mahir, pengecilan perniagaan dan kejenteraan semula syarikat. Keadaan ini menyebabkan usahawan perlu bersikap lebih fleksibel, spontan dan peka terhadap perkara-perkara di luar ramalan yang mungkin berlaku.

(k) Membangunkan Perilaku Beretika

Dalam keghairahan untuk meningkatkan produktiviti. persaingan dan penurunan kos pengeluaran, usahawan mungkin terdedah ke arah mengeksploitasi pekerja, tidak mematuhi undang-undang dan melakukan amalan-amalan di luar batasan moral. Usahawan gagal mendefinisikan perilaku yang betul dan yang salah. Usahawan terpaksa berhadapan di antara penumpuan kepada kebajikan “konstituen” dengan penumpuan kepada keuntungan perniagaan. Mereka juga menghadapi dilema ‘promoter’, dilema ‘innovator dan dilema “relational”. Suasana ni memerlukan usahawan untuk membina garis pemisah di antara yang hak dan yang batil dalam setiap keputusan dan tindakan yang akan diambil.

5.0       USAHAWAN BUMIPUTERA DAN STRATEGI MENGHADAPI  CABARAN

Menyedari pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi. usahawan perlu bersiap sedia untuk menyusun strategi yang lebih signifikan. Antara strategi yang sepatutnya dilakukan oleh usahawan adalah:

(a) Strategi Sejagat

Usahawan perlu memahami perubahan pasaran dunia dengan berfikiran secara sejagat. Mereka seharusnya dapat mengenal pasti peluang-peluang perniagaan secara unik dan bertindak cepat untuk mengeksploitasikan peluang-peluang itu. Mereka perlu menguasai persekitaran perniagaan secara strategik dengan memastikan mendahului strategi yang diambil oleh pesaing mereka.

(b) Kemahiran Dalam Penggunaan Teknologi Maklumat

Usahawan hendaklah sentiasa peka dengan perkembangan teknologi yang pesat berlaku sama ada dalam bidang pengeluaran, pembangunan produk. pembungkusan, pemasaran dan penumpuan kepada kualiti. Mereka harus mementingkan fungsi teknologi maklumat untuk bersaing dalam perniagaan.


(c) Mengutamakan Jaringan

Mereka hendaklah juga perlu tahu bagaimana hendak mengurangkan lapisan prosedur dan segala bentuk birokrasi. Usahawan perlu mempunyai kemahiran untuk membina jambatan atau jaringan dengan tokoh-tokoh utama dan kalangan pelbagai I atar belakang dalam perniagaan untuk mewujudkan kerjasama dan memastikan mereka sentiasa berada dalam situasi menang-menang atau win-win situation”. Mereka perlu ingat bahawa dalam dunia keusahawanan ini bukannya apa yang diketahui oleh usahawan yang akan menentukan kejayaan mereka tetapi siapa yang mereka Renal mempunyai pengaruh yang lebih signifikan terhadap perniagaan mereka.

(d) Berperanan Sebagai Pemimpin dan Pendorong

Usahawan pada masa depan juga perlu mengetahui kedinamikan kumpulan dan sensitif terhadap keperluan mereka. Mereka harus berkebolehan untuk membimbing, mendorong, menasihati dan tahu bila (when), apa (what) dan bagaimana (how) untuk memberi arahan kepada pasukan kerja dan individu agar mereka mampu memberi sumbangan yang terbaik. Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengetahui kepentingan teknik pengurusan secara penglibatan bersama selain membangunkan pasukan pengurusan kendiri.

(e) Kepakaran Berkomunikasi

Usahawan Juga berperanan sebagai penghubung yang berkesan. Kepakaran ini penting kerana mereka akan berhadapan dengan pekerja yang mempunyai kepelbagaian latar belakang. Pada masa yang sama. mereka juga perlu berhadapan dengan pembekal, pelanggan, komuniti dan pemimpin kerajaan yang mana setiap di antara mereka mempunyai agenda dan pengharapan yang tersendiri terhadap usahawan.



6.0       RUMUSAN DAN CADANGAN

Peluang untuk mengikuti latihan perlu ditingkatkan terutama untuk mempelajari dengan mendalam aspek kewangan dan pemasaran yang dianggap penting untuk terus berjaya. Pendidikan yang diterima masih belum mencukupi. Walaupun usahawan Bumiputera telah lama menceburkan diri dalam bidang perniagaan secara amnya kemahiran keusahawanan mereka tidak tinggi tetapi bertaraf sederhana sahaja. Ini menggambarkan bahawa pengalaman sahaja tidak memadai dalam meningkatkan pengetahuan usahawan.

            Pengalaman dan pendidikan yang dipunyai oleh usahawan Bumiputera tidak menjamin pertambahan ilmu dalam mengendalikan perniagaan mereka secara berkesan. Ini terbukti apabila didapati lebih 50% usahawan tidak mempunyai kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan kemahiran yang dianggap 'routine' dalam menjalankan sesebuah perniagaan. Keberkesanan agensi yang menyediakan program dan pakej latihan keusahawanan terutama yang melatih usahawan perlu dikemas kini dan dinilai. Memandangkan 92% merasakan latihan keusahawanan ini penting untuk mereka maka pelaksanaan dari segi kaedah penyampaian dalam program pembangunan usahawan hendaklah berbentuk 'experiential' dan berorientasi tindakan. Usahawan Bumiputera hendaklah mengubah sikap supaya sentiasa menambah usaha dan kesanggupan untuk mengemas kini ilmu pengetahuan dalam bidang kewangan dan pemasaran. Walaupun bidang ini sukar dipelajari, keinginan untuk menguasainya hendaklah sentiasa dipupuk. Di samping menambah usaha mempertingkat ilmu pengetahuan bercorak teknikal, usaha untuk membentuk sikap dan personaliti usahawan yang unggul hendaklah diberi pertimbangan terutama bagi melengkapkan diri dengan ciri-ciri keusahawanan yang penting untuk kejayaan.






RUJUKAN

Barnes, J. G., G. A. Pynn Dan A. C. Noonan. (1982). Marketing research: some basics for small business. Journal of Small Business Management 20 July: 63.

Clouse, V. (1990). A Controlled Experiment Relating Entrepreneurial Education To Students Start-Up Decision. Journal Of Small Business Management 22(2): 26-31.

Cohen, W. Dan M. Reddick. (1981). Successful Marketing For Small Business. New York: American Management Association 2.

Diffley, J. H. (1983). A Study Of Women Business Owners And The Importance Of Selected
Entrepreneurial Competencies Related To Educational Programs. Dissertation Abstract International 43: 180.

Drucker P.F. (1963). What Is A Business? Marketing And Advertising. P. 9. New York: Mcgraw Hill. Flatley, M. E. 1990. Team Presentation Skills: Essential Tools Today. Business Education Forum 45(2): 19-21.

Hess, D. W. (1987). Relevance Of Small Business Courses To Management Needs. Journal Of Small Business Management 25(1): 26-34.

Ibrahim, A. B. (1986). Perceived Courses Of Success In Small Business. American Journal Of Small Business 11(2): 41-49.

Ken, C. A. (1990). Integrating Entrepreneurship In The Secondary Curriculum: Economics And Other Courses. Dalam Entrepreneurship Education, Disunting Oleh C. A. Kent. Connecticut: Quorum Book.

Kresner, W. F. (1990). Post-Secondary Entrepreneurship Education For The Practicing Venture-Initiator. Dalam Entrepreneurship Education: Current Development, Future Direction. New York: Quorum Books.

Kohns, D. P. (1985). Entrepreneurship - An Mde Educational Opportunity. Marketing Educators News 3: 10-19.

Luff, R. L. Dan J. L. Schoen. (1986). Non Technical Business Employment Competencies In Illinois. The Delta Pi Epsilon Journal Xxxviii(3): 167-157.

Mc Cannon, M. Dan T. B. Crews. (2000). The Top Five Communication Skills Needed By Information System Graduates. The Delta Pi Epsilon Journal Xxxxi(4): 246-250.


Malaysia. (2001). Rancangan Malaysia Kelapan (Rmke8) 2001-2005. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Berhad.

Mc Evi'en, T. (1990). Validation Of Competencies For Entrepreneurship Education And Training In Jamaica. Dissertation Abstract International 51: 3828a.

Norasmah Othman. (2002). Keberkesanan Program Keusahawanan Remaja Di Sekolah Menengah. Disertasi Ph.D, Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Norhashim Nordin. (1994). Towards Strengthening Smis. The Bank Pembangunan Perspective. Kertas Kerja Dibentangkan Di 1st National Conference For Smis, Kuala Lumpur, Malaysia.

Shahril Marzuki. (1993). Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Sieh Lee Mel Ling. 1990. Malaysian Industrial And Entrepreneur Profile. Malaysian Management Review 25(2): 3-10.

Tate, C. (1977). The Complete Guide To Your Own Business. Iii. Homewood.

Timmons J. A., L. E. Smollen Dan A. L. M. Dingee. (1985). New Venture Creation. Edisi Kedua. Homewood, Illinois: Irwin.

Tootelian, D. Dan R. Gaedeke. (1985). Small Business Management. Edisi Kedua. Gienview: Scott, Foresman.

Tropman, J. E. (1989). Entrepreneurial Systems For The 1990s. Connecticut: Glenwood Press.


Wouble, M. N., J. E. Adams Dan W. L. S. Gohdes. (2000). Business And Marketing Education Program In Georgia: Focus Groups Executive Issues For Program Reform. The Delta Pi Epsilon Journal Xxxxii(I): 38-57.

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie. (1993). Preparation And Training Needs Of Teachers To Teach Entrepreneurship In Vocational Programs. Pertanika J Soc. Sci. Hum. 1(2): 123-132.

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie Dan Zakaria Kasa. (2000). Professional Traits Needed For Career Success: How It Relates To Education Of Future Workers. Journal Psikologi 14: 75-86.

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie, Mohd. Majid Konting, Ab. Rahim Bakar Dan A. Genevieve. (1998). Dasar Dan Strategi Program Peningkatan Keberkesanan Pendidikan Keusahawanan Untuk Abad Ke 21. Kertas Kerja Yang Dibentangkan Di Seminar Pendidikan Keusahawanan: Pendidikan Keusahawanan Abad Ke-21. Selangor: Upm, Serdang.

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie Dan Habibah. (1997). Keusahawanan Dan Motivasi Diri. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

3 comments:

Anonymous said...

asalamualaikum tuan hamba . hamba amat berterima kasih untuk info yang berguna berserta dengan rujukan yang telah tuan hamba kepada didalam blogger hamba . hamba mohon untuk menggunakan cebisan info tuan hamba untuk dibuat kajian didalam tesis hamba. terima kasih sekali lagi kerana tuan hamba ikhlas memberi info berserta rujukan dan tidak menjadi seperti insan lain yang lokek ilmu mereka . hamba berdoa tuan hamba memperolehi keberkatan yang berpanjangan dengan budi baik tuan hamba berikan selama ini .

Insan Sepi said...

Terima kasih. Perkongsian yg sangat berguna. Disertakan dengan rujukan. Amat membantu dalam penulisan assignment saya.

Anonymous said...

Perkhidmatan Pembiayaan Le_Meridian pergi ke atas dan di luar keperluan mereka untuk membantu saya dengan pinjaman saya yang saya gunakan memperluaskan perniagaan farmasi saya, Mereka adalah permata yang ramah, profesional, dan mutlak untuk bekerja dengan. Saya akan mengesyorkan sesiapa yang mencari pinjaman untuk dihubungi. Email..lfdsloans@lemeridianfds.com Atau lfdsloans@outlook.com.WhatsApp ... + 19893943740.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Labels

Tugasan PJJ (2) UUM (2) Word Excel (2) asrama (2) joomla (2) Aksi (1) Aplikasi Komputer (1) Asas Pentabiran (1) Azfar (1) Bab 1 (1) Bab 2 dan bab 3 (1) Backup Kesemua Driver (1) Bagaimana (1) Bahasa Melayu (1) Bermain (1) Bintang (1) Bisu (1) Blog (1) Cinta Muka Buku (1) Dasar Pandang Ke Timur (1) Dasar Timur (1) Direktori (1) Ekonomi (1) English (1) Filem (1) GMGA1013 (1) Games (1) Google Search (1) Identiti (1) JPJ (1) Jadual Waktu April 2011 (1) Jepun (1) Kesatria Poyos (1) Ku Jumpa (1) Lagak (1) Lagu (1) Maddi Jane Price (1) Mari Ketawa (1) Membina (1) Menyanyi (1) Mizz Nina (1) Modul PJJ SEM 1 (1) Nat kebun getah (1) Ngeri (1) Nota (1) Orang (1) PDRM (1) PLK (1) Pedagogi (1) Pendidikan awal kanak-kanak (1) Pengenalan Website (1) Pengurusan (1) Power Point To Pdf (1) Poyos (1) Rujukan IT (1) SADN1013 (1) SBLM1053 (1) Sumber (1) Syurgamu Ramadhan (1) Tingkatkan (1) VRS011 (1) Web IT (1) WinXP (1) Window XP Cetak Rompak (1) Zawir Boleh Menirap pada 20-7-2010 (1) alat lipat baju (1) andartu (1) andartu terlampau (1) asiggmen (1) baju lipat (1) barat (1) berkerja (1) berzina (1) cara lipat (1) cmd (1) command (1) converter offices 2007 for offices 2003 (1) desktop loding slow (1) dimanakah anda (1) e107 (1) empaya poyo (1) espistemologi (1) fitrah (1) gambar (1) gambar 2 (1) google (1) google bot (1) hardisk (1) hit google (1) info zakat (1) internet (1) jauh zina (1) kelajuan (1) kerja (1) kompaun (1) lawatan ke perak (1) lipat baju (1) localhost (1) membeli-belah (1) mycyberhost.biz (1) najwa latif (1) numar pan'la unu (1) orang cina (1) palgiat (1) panjar (1) pantau (1) pasar sehari (1) password (1) pawagam (1) penaklukan (1) penarafan (1) perkonsian ilmu (1) pic 2 (1) pidgin (1) renungan (1) root (1) run (1) saman (1) sejarah (1) sem 4 (1) server laju (1) shoping (1) sistem maklumat asrama (1) sma (1) tak tau tulis apa (1) tanah melayu (1) telnet (1) terjemah (1) terlampau (1) translate (1) wang runcit (1) web PJJ UUM (1) xampp (1) zakat (1) zina (1)